KUALA LUMPUR 4 April – Ahli-ahli akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) buat pertama kali dan secara terbuka menuntut supaya Azmin Ali menjawab segala dakwaan yang dikaitkan ke atas beliau.
Mereka turut menggesa Timbalan Presiden PKR itu meninggalkan parti jika gagal berbuat demikian dalam masa terdekat demi menjaga nama baik PKR.
Desakan itu dinyatakan oleh Ketua Penerangan PKR Ampang, Mohd. Isa Mohd. Saidi dalam satu sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri Naib Ketua PKR Ampang, H.M Tan dan 10 ahli jawatankuasa cabang tersebut.
“Azmin tidak akan membisu dan berdiam diri jika tidak bersalah. Azmin perlu tampil menjawab segala tuduhan jijik yang dilemparkan secara berani dan ikhlas sekali gus mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang membuat tuduhan itu demi meyakinkan ahli dan rakyat,’’ tegas Mohd. Isa.
Azmin sebelum ini dicabar oleh bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali supaya membuat penjelasan terhadap lima perkara termasuk sumber kewangan Ahli Parlimen Gombak itu serta isterinya, Shamsidar Taharin yang membeli saham bernilai RM2 juta antara tahun 1992 hingga 1994.
Azmin juga dicabar menafikan dakwaan bahawa beliau serta isterinya termasuk seorang ipar memiliki saham bernilai RM8.5 juta pada awal tahun 1990-an adalah tidak benar.
Selain itu, Azmin juga perlu menafikan tuduhan yang dibuat dalam buku karangan Syed Hussin Al-Attas bertajuk ‘Tuhan, Politik dan Seks’ yang diterbitkan pada tahun 2010 termasuk cabaran penulis-penulis blog untuk menentukan kesahihan nasab biologi seorang lagi ahli keluarga beliau.
Namun, sehingga kini, Azmin masih enggan membuka mulut kecuali dakwaan pemilikan saham beliau dan isterinya apabila menyifatkan usaha mengaitkan perkara itu dengannya sebagai fitnah.
Bagaimanapun semalam, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari yang merupakan individu bertanggungjawab melaporkan pembelian dan pemilikan saham berkenaan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu tampil mendedahkan bukti-bukti sebagaimana yang diminta Azmin.
Mohd. Isa berkata, beliau dan ahli-ahli parti lain terpanggil membuat desakan tersebut ekoran sikap Ketuanya, Zuraida Kamaruddin merangkap Ketua Wanita PKR yang memberi amaran supaya tidak ‘sibuk’ mencampuri urusan pimpinan atasan parti apabila diminta memberikan penjelasan.
Bimbang dengan jawapan Zuraida itu, katanya, pakatan pembangkang berkemungkinan besar akan kecundang teruk dalam pilihan raya umum akan datang jika tiada penjelasan konkrit daripada Azmin atau mana-mana pimpinan tertinggi parti.
‘‘Beberapa cabang PKR lain khususnya di Selangor dipercayai akan membuat desakan sama jika Azmin mengambil sikap terus berdiam diri.
‘‘Sebelum kami beramai-ramai bertindak keluar parti, kami minta beliau terlebih dahulu meninggalkan parti,’’ katanya.
Mohd. Isa turut menegaskan selain Azmin, mana-mana pemimpin termasuk Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikaitkan dengan dakwaan salah laku moral perlu membuat penjelasan.
No comments:
Post a Comment