Ada pemimpin hasut pemimpin

oleh Ismail Alias

Penulis bukan seorang pakar politik setempat apatah lagi untuk memberikan sebarang komen mengenai perpaduan di dalam mana-mana parti politik. Apa-apapun oleh kerana desakan dari seorang teman lama yang memujuk penulis untuk memberikan sedikit pandangan mengenai UMNO Ampang, penulis terasa terpanggil walaupun hanya bermastautin di salah sebuah dari 12 buah kampung  sebelum kawasan Mukim Ampang ini diperluaskan ke beberapa kawasan.

Kemenangan Dato Mufti dan Haji Ismail Kijo di kerusi DUN dan Ong Tee Keat Parlimen Ampang Jaya pada PRU10 nyata sekali dilihat satu gandingan yang mantap kepada Barisan Nasional waktu itu walaupun sedang bergolak dilanda krisis pemecatan Dato Seri Anwar Ibrahim. 
Persempadan semula kawasan melihat Dr Rozaidah Talib dipilih sebagai Ahli parlimen Ampang, manakala Azman Wahid menang di DUN baru iaitu Bukit Antarabangsa dan Haji Ismail Kijo kekal di DUN Lembah Jaya. UMNO Ampang kini memiliki 3 kerusi sepenuhnya. 

Malangnya kemenangan besar di PRU11 tidak diilhamkan kedalam bentuk kerja lantas rakyat menghukum mereka apabila UMNO Ampang kalah kesemua kerusi kepada Pakatan Rakyat.

Kekalahan ini secara jelasnya memberikan isyarat kepada pemimpin sedia ada untuk membawa satu perubahan kepada UMNO diperingkat bahagian mahupun peringkat pusat. Perubahan yang diminta oleh rakyat adalah sangat jelas iaitu mereka mahukan pemimpin yang dapat membantu masalah rakyat dan bukan pemimpin yang banyak bermain politik kepentingan sendiri.

Hampir 22 tahun penulis tinggal di Ampang bermacam gaya pemimpin telah datang dan pergi dari UMNO Ampang. Pemimpin yang disanjung pergi meninggalkan legasi beliau manakala pemimpin yang tersungkur pergi tanpa disedari mahupun diiktiraf sumbangannya.Tidak perlu disebut nama-nama mereka yang telah gugur atau digugurkan kerana yang pergi tetap pergi yang tinggal harus memperbaiki dan meletakkan UMNO ke mata masyarakat sebagai parti membela masyarakat.

Seperkara yang menyedihkan, ahli-ahli UMNO yang berjawatan nyata sekali kurang mempertimbangkan kepentingan parti apabila membuat keputusan melibatkan kepentingan masyarakat. Diwaktu sedang berada di dalam kekalahan, masih lagi kedengaran percakaran sesama sendiri untuk merebut jawatan ataupun kerusi. Begitu juga cerita-cerita sebegini UMNO Ampang OOOO UMNO Ampang Ada Lagi Ka? menghentam UMNO Ampang dengan niat serampang dua mata.

Niat hanya untuk mengegarkan dan mengejut Ketua Bahagian agar segera melatah untuk bertindak semula ke-atas mereka yang dilabelkan sebagai musuh oleh ahli-ahli yang tidak menyukai golongan dan individu tertentu.

Inilah realitinya berlaku kepada UMNO Ampang, tindakan suka mencuit pemimpin untuk lekas bertindak menanam sesiapa sahaja yang cuba dilihat untuk memulihkan UMNO Ampang.

Penulis hanya mengelengkan kepala bersama-sama dengan rakan-rakan sekampung apabila sering disampaikan cerita sebegini. Jawapan penulis kepada mereka hanya mudah sahaja " tiada apa yang baru dibuat oleh penghasut ini".

Rakan penulis pernah bertanya soalan ini sewaktu mula-mula tersebar usaha-usaha penghasut untuk menghasut pemimpin bahagian membenci beberapa individu yang agak popular."Apalagi nak si S****** menyuruh anak-anak muda dan beberapa ketua cawangan membenci deorang ni?"

"Itulah dia kerja orang yang tak buat apa-apa selain dari kerap melalak di pentas bertempik akan menyokong siapa sahaja calon" tetapi realitinya dia sendiri yang tidak mahu sehingga menghasut pemimpinnya sendiri untuk melakukan kejahatan politik bersama-sama.

Nasihat penulis kepada mereka-mereka penghasut, ini bukan masa menghasut pemimpin ke arah kejahatan politik dalaman menolak sesiapa sahaja yang datang untuk membantu, walau dari Bukit Bintang sekalipun, niat beliau tetap jujur membantu dan dilakukan secara terbuka.

Usahlah menghasut pemimpin menolak sesiapa pun sebaliknya tugas awak menyatukan semula ideologi anak-anak muda lebih penting untuk PRU13. Jika tidak mampu berbuat sedemikan sewajarnya anda renungkan kembali jawatan penting yang akan pikul di peringkat bahagian dan perhubungan negeri. Moga insaf dan perbetulkan semula saf untuk kebaikkan bersama.

No comments:

Post a Comment