PKR Ampang semakin hilang sokongan akar umbi

Pergolakan yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendorong 80 ahlinya di kawasan Rumah Pangsa Taman Ampang Mewah di sini meninggalkan parti itu dan menyertai UMNO awal minggu ini.

Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, ia membuktikan mereka sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti tersebut.


“Kebanyakan bekas ahli PKR menyatakan mereka meninggalkan parti kerana sedar pemimpin PKR tiada hala tuju dan gagal menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya umum lalu.

“Selain itu mereka mendakwa pakatan pembangkang tiada masa depan kerana sesama pemimpin asyik bercakaran dan mengabaikan kebajikan rakyat berbanding UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang terus membela nasib rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Ismail, borang keahlian mereka dalam UMNO Cawangan Rumah Pangsa Taman Ampang Mewah diserahkan kepada Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang juga Ahli MT Angkat kepada UMNO Bahagian Ampang.

Borang keahlian bekas-bekas ahli PKR itu diserahkan oleh Wahid Hamid mewakili rakan-rakannya.

Ismail berkata, UMNO sentiasa membuka pintu kepada bekas ahli PKR untuk menyertai parti itu dan ini merupakan masa terbaik bagi mengukuhkan sokongan kepada BN terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Kita percaya BN mempunyai peluang cerah menawan semula negeri-negeri yang dikuasai pembangkang berikutan majoriti rakyat semakin sedar bahawa kehidupan mereka tidak terbela di bawah pentadbiran pakatan pembangkang,” katanya.

No comments:

Post a Comment