Orang kawasan nak lawan Azmin...dakwa telefon dan SMS tak pernah jawab

Oleh: HELME HANAFI
NAMPAK gayanya laluan Naib Presiden PKR, Azmin Ali untuk bertanding jawatan nombor dua parti tidak selancar yang dijangkakan. Biarpun mendapat sokongan daripada sebahagian Ahli Parlimen dan ADUN PKR di peringkat pusat, di kampung sendiri Azmin dicabar.

Pencabarnya, Abu Bakar Ninggal, 72, merupakan orang lama, pengasas dan pemimpin PKR bahagian Gombak sejak parti itu ditubuhkan pada tahun 1999.



Bercakap kepada Agendadaily, Abu Bakar, seorang peniaga, menyifatkan tindakan beliau mencabar Azmin Ali merupakan manifestasi kekecewaan ahli-ahli PKR Gombak terhadap kepimpinan beliau.

“Ahli-ahli PKR di sini mahu saya lawan dengan Azmin, sebab Azmin ‘cakap tak serupa bikin’, di kawasan saya Taman Seri Gombak, Azmin hanya turun melawat dua kali sahaja sejak bergelar Ahli Parlimen,” katanya.

“Hand phone tak buka, sms tak jawab,” tambah Abu Bakar mengenai sikap Azmin.

Menurutnya, beliau mendapat sokongan dan galakan ramai untuk bertanding bahkan ada di antara pemimpin PKR pusat yang menghantar SMS mengucapkan tahniah kepada beliau kerana keputusan tersebut.

Ditanya, mengenai tindakan beliau melawan Azmin, yang disifatkan sesetengah pihak seperti melawan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Abu Bakar, “Peduli apa, demokrasi… kalau Azmin jahat, tak kan Anwar pun jahat,” katanya yang pernah menjadi Naib Ketua PKR Gombak selama dua penggal.

Tetapi demokrasi dalam PKR tidaklah semudah itu, cerita Abu Bakar, sejurus selepas beliau dan kumpulannya menyerahkan borang pengesahan bertanding kepada jawatankuasa pemilihan cabang, Ahad lalu.

Salah seorang daripada pencadangnya menelefon beliau untuk menarik diri kerana ‘tertekan’, Abu Bakar kemudiannya terpaksa membuat pengesahan dengan jawatankuasa pemilihan parti dan diberitahu bahawa pencalonannya sah dan layak bertanding.

“Saya tidak bertanding seorang, sebaliknya kumpulan saya lawan kumpulan Azmin,” katanya penuh yakin.

Diminta mengulas mengenai peluang menang, kata Abu Bakar, “Menang kalah tidak penting pada saya, yang penting kami menyampaikan perasaan ahli akar umbi yang protes dengan kepimpinan Azmin,” katanya, yang satu masa dulu terkenal sebagai penerbit buku-buku hantu popular “Tok Awang Ngah’.

Mesyuarat pemilihan cabang (bahagian) Gombak akan diadakan di Hotel De Palma, Ampang pada 3 Oktober ini.

Sementara itu, ada ahli kumpulan 20 Ahli Parlimen dan 13 ADUN yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Azmin mendakwa pemgumuman tersebut dibuat tanpa persetujuan mereka.

Seorang ahli Parlimen PKR yang enggan dinamakan berkata, beliau tidak dimaklumkan bahawa kehadiran ke ibu pejabat parti semalam adalah untuk menunjukkan sokongan terbuka kepada Azmin.

“Saya ingat pertemuan itu hanya pertemuan biasa, tanpa apa-apa kenyataan pada media,” katanya.

Dan biarpun pada pagi Selasa diumumkan 13 ADUN PKR sokong Azmin, petangnya beberapa ADUN mendakwa mereka masih belum membuat keputusan menyokong mana-mana individu dalam pemilihan jawatan timbalan presiden.

Antara mereka ialah Chai Tong Chai Adun Chuah Negeri Sembilan, Aminudin Harun Adun Sikamat, Negeri Sembilan, Gan Pei Nei Adun Rawang dan Rodziah Adun Batu Tiga. - 8/9/2010

No comments:

Post a Comment