Oleh ASSIM HASSAN
AMPANG 2 Mei – Kira-kira 1,000 penduduk khususnya di kawasan Ampang Jaya di sini, bakal kehilangan pekerjaan mereka sekiranya kontrak pembersihan awam dan sisa pepejal di daerah itu diambil alih oleh lima pihak berkuasa tempatan (PBT), berkuat kuasa 1 Julai ini.
Wakil Kontraktor Melayu Bumiputera Kawasan Ampang Jaya, Norazmii Baharuddin berkata, ia berikutan keputusan kerajaan negeri Selangor untuk menamatkan pengurusan pembersihan awam yang sebelum ini dikendalikan oleh Alam Flora Sdn. Bhd.
Katanya, mereka yang terlibat dengan kehilangan pekerjaan itu merupakan pekerja di bawah sekurang-kurangnya 37 kontraktor baru dan lama di bawah Alam Flora dengan mengambil kira secara purata 25 pekerja bagi setiap kontraktor.
“Oleh itu, kami inginkan penjelasan yang kukuh daripada kerajaan negeri Selangor dan pihak MPAJ. Kami kecewa kerana kerajaan negeri Selangor tidak pernah berbincang dengan kami,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas keputusan kerajaan negeri Selangor pada 18 April lalu, untuk menyerahkan semula pengurusan pembersihan awam kepada PBT yang sebelum ini dikendalikan Alam Flora di negeri tersebut.
Tambah Norazmii, dalam hal itu, kerajaan negeri Selangor seharusnya menasihati kontraktor lama sekiranya prestasi tidak mencapai piawaian yang ditetapkan dan bukannya menyamaratakan semua pihak.
Katanya, pihaknya juga telah lama bersabar dengan sistem pembayaran oleh MPAJ yang tidak mengikut harga kontrak penuh dan tunggakan pembayaran melebihi tempoh tiga bulan berturut-turut.
“Pihak MPAJ hanya akan membuat pembayaran tiga bulan sekali kepada kontraktor. Lebih dikesali apabila pihak MPAJ juga akan memotong jumlah pembayaran dengan alasan tidak berpuas-hati dengan prestasi pembersihan awam kontraktor terbabit.
“Pemotongan ini tidak termasuk dalam perjanjian dan walaupun tidak dibayar penuh, kami tetap mengekalkan prestasi yang baik,” katanya.
Beliau memberitahu, pada 2005, pihak MPAJ pernah mengambil-alih tugas pembersihan kawasan dan kutipan sisa pepejal tetapi pada Julai 2007, MPAJ terpaksa menyerahkan semula kepada Alam Flora kerana gagal melaksanakannya dengan baik.
No comments:
Post a Comment