PETALING JAYA 13 Nov. - Satu demi satu dakwaan mengenai ketidakadilan dalam proses pemilihan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus dilontarkan oleh ahli-ahli parti itu.
Hari ini, sekumpulan 300 orang yang mendakwa ahli parti itu mengadakan demonstrasi di hadapan Pejabat PKR Pusat di sini bagi mendesak supaya pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu yang sedang berlangsung dihentikan.
Rata-rata daripada mereka mendakwa pemilihan PKR yang sedang berlangsung tidak dilakukan dengan adil, sebaliknya hanya mementingkan individu tertentu.
Dalam demonstrasi aman itu, kumpulan berkenaan turut membawa beberapa kain rentang yang mengutuk pemimpin tertinggi PKR selain mahu pemilihan parti diadakan semula.
Kumpulan berkenaan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan umur hadir menaiki tiga bas serta beberapa van sejak pukul 10 pagi.
Difahamkan kumpulan itu merupakan ahli PKR dari Selayang, Hulu Selangor, Tanjung Malim, Subang dan Batu Kawan (Pulau Pinang).
Perhimpunan itu bagaimanapun selesai pada pukul 12 tengah hari.
Turut kelihatan ialah Bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR, P.S. Jenapala; Bekas Bendahari PKR Selangor, S. Kottapan dan Bekas Timbalan Ketua Cabang PKR Selayang, Datuk Mazlan Hassan.
Seorang daripada wakil kumpulan itu yang juga bekas calon Ketua Cabang PKR Selayang, B. Rajendran ketika ditemui pemberita berkata, demonstrasi tersebut diadakan bagi mendesak pemilihan MPP dihentikan serta-merta.
"Sebagai ahli PKR, kami tidak boleh menerima sekiranya pemilihan MPP tetap dijalankan kerana ia tidak dilakukan dengan telus.
"Pemimpin atasan PKR perlu menyelesaikan dahulu penggantungan beberapa cabang serta masalah lain sebelum meneruskan pemilihan MPP," dakwanya yang merupakan Ketua Komuniti Kaum India Parlimen Selayang.
Seorang lagi ahli PKR, Abdul Razak Mohd. Jalil berkata, pemimpin tertinggi PKR seharusnya memandang serius demonstrasi yang diadakan itu.
Ini kerana, katanya, demonstrasi itu merupakan suara akar umbi yang mahukan keadilan dan ketelusan dalam pemilihan pemimpin parti.
"Sebagai wakil dari Selayang, kami mendesak supaya pemilihan MPP dihentikan sementara pemilihan cabang dilakukan semula dengan lebih adil.
"Sekarang rakan-rakan lain telah mula hilang keyakinan dengan PKR, namun mereka masih menunggu jika pemimpin tertinggi dapat melakukan sesuatu. Sekiranya tiada sebarang perubahan, mungkin mereka tidak akan bersama PKR lagi," jelasnya
No comments:
Post a Comment