Anwar selamatkan 'tengkuk'


TIADA siapa yang merasa terhina dengan pengiktirafan Australia bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam moden seperti yang disuarakan oleh Perdana Menterinya, Julia Gillard.

Hanya Anwar dan kawan-kawannya dalam pakatan pembangkang saja yang menganggap pengiktirafan itu sebagai satu penghinaan. Tetapi bagi mereka yang cintakan negara pasti berbangga dengan pengiktirafan itu.


Malah banyak lagi negara yang memuji Malaysia sebagai negara Islam yang moden, progresif dan sederhana. Kalau hendak menunggu Pas menubuh negara Islam tak tahu bila kerana terpaksa menunggu sampai Pas 'langkah mayat' Karpal Singh dulu.

Aneh sekali, ketika rakyat negara ini merayakan Aidiladha, Anwar terpaksa berlari ke sana ke mari hendak berjumpa Ahli Parlimen Australia pula bagi mendapatkan simpati untuk kepentingan peribadi terutama dalam menghadapi kes liwatnya.

Kalau beliau percaya pada kebenaran beliau tak perlu melakukan seperti itu. Tuhan lebih berkuasa. Mintalah pertolongan daripada ulama Pas untuk bermunajat kepada Tuhan agar kes liwatnya digugurkan.

Yang hairannya, semasa menjaja mengenai kezaliman kerajaan Malaysia, beliau hanya merujuk kepada kes Teoh Beng Hock, mengapa tidak merujuk kepada kesnya sahaja.

Kenapa mesti meminta negara luar melakukan tekanan ke atas Malaysia? Tekanan untuk apa? Sedangkan yang tertekan dan terdesak adalah Anwar.

Sebenarnya yang beliau bising di dunia ialah untuk menyelamatkan 'tengkuknya' bukan orang lain, hatta negara ini sendiri.

Benarkah Indonesia menjadi rakan sekutu yang menyokong gerakan reformasi menentang kerajaan Malaysia seperti yang didakwa oleh Anwar? Kita harap kerajaan Indonesia patut menjelaskannya.

Kita tidak mahu Anwar menjaja ke seluruh dunia dengan berkata beliau mendapat sokongan Indonesia. Pembohongan seperti itu sangat mengelirukan dan boleh menjejaskan imej Indonesia.

Setahu kita hanya mereka yang memijak dan membakar bendera Malaysia di Indonesia saja menjadi sekutu Anwar. Itu pun hanya beberapa kerat saja dan sengaja digembar-gemburkan oleh media seolah-olah Indonesia memusuhi Malaysia.

Tindak-tanduk Anwar memburukkan negara tidak patut dibiarkan kerana ini satu perbuatan yang keji, hina lagi menjijikkan. Apakah orang seperti ini layak untuk memimpin negara? Rakyat Malaysia patut membuka mata dan bangkit menentangnya.

No comments:

Post a Comment