Semangat DEB wajar diteruskan – Faaland

KUALA LUMPUR 27 Okt. – Objektif serta semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan dari 1970 hingga 1990 perlu diteruskan dalam dasar-dasar pembangunan kerajaan demi menjamin keadilan dan kestabilan negara.

Penerima Anugerah Merdeka 2010, Tan Sri Just Faaland (gambar) yang merupakan salah seorang penggubal DEB berkata, ia penting kerana masyarakat pelbagai kaum di negara ini dilihat masih menghadapi masalah peluang ekonomi yang tidak seimbang.


“Jadi usaha serta sasaran DEB untuk memberi peluang sama rata kepada setiap rakyat Malaysia perlu diteruskan melalui Model Baru Ekonomi (MBE) yang diumumkan Perdana Menteri anda baru-baru ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Faaland merupakan ahli ekonomi yang kini bertugas sebagai Perunding Kanan Chr. Michelsen Institute (CMI) Norway yang terbabit secara langsung dalam penggubalan DEB melalui Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) selepas rusuhan kaum pada 1969.

Beliau menambah, struktur sosial masyarakat serta pemimpin politik tempatan di negara ini yang menyaksikan perbincangan terbuka mengenai DEB dan kuota bumiputera berterusan dari semasa ke semasa merupakan sesuatu yang positif serta melambangkan demokrasi.

“Paling penting, semua pihak perlu mengambil sikap penuh bertanggungjawab dalam membincangkan hal itu agar kita tidak lagi menyaksikan peristiwa 13 Mei yang kedua,” tegasnya.

Faaland yang merupakan pakar ekonomi antarabangsa dari Norway dinobatkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Merdeka 2010 bagi kategori Sumbangan Ulung Kepada Rakyat Malaysia.

No comments:

Post a Comment